Perang bermula Perang Tok Janggut

Pada 29 April 1915, Sarjan Che Wan Sulaiman yang diiringi oleh enam orang anggota polis telah menemui Tok Janggut di Kampung Merbul. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata. Sarjan Sulaiman telah menerangkan maksud kedatangannya dan telah menjemput Tok Janggut datang ke Pasir Putih untuk berjumpa Ketua Daerah. Tok Janggut telah bersetuju dengan permintaan tersebut, walau bagaimanapun telah berlaku pertengkaran semasa hendak meninggalkan tempat tersebut kerana Tok Janggut tidak mahu berjalan dihadapan dengan diiringi oleh polis dibelakangnya seperti orang salah. Semasa pertengkaran tersebut, Tok Janggut telah menikam Sarjan Che Wan Sulaiman dengan kerisnya menyebabkn beliau meninggal dunia. Melihat peristiwa tersebut, polis yang lain tidak berani melawan dan telah dibiarkan pergi oleh Tok Janggut setelah merampas senapang mereka.

Tok Janggut bersama rakan-rakanya dan pengikut-pengikut mereka seramai lebih kurang dua ribu orang telah menyerang dan menawan pekan Pasir Putih. Ketua Daerah telah lari menyelamatkan diri ke Kota Bahru menghadap Sultan Muhammad Shah IV.

Setelah menawan Pasir Puteh, Tok Janggut dan rakan-rakannya telah menubuhkan kerajaan sendiri. YAM Tengku Besar Jeram Tuan Ahmad Ibni Tengku Sri Maharaja Long Mansor diangkat menjadi Paduka Sri Raja Pasir Putih, Tok Janggut menjadi Perdana Menteri, Haji Said menjadi Timbalan Perdana Menteri, Penghulu Adam menjadi Syahbandar dan Ishak menjadi Ketua Daerah.